BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 21 September 2010

Perbuatan Zina Bunuh Rasa Malu

Buat dosa siang malam tidak kira masa. Apa sudah jadi dengan umat Islam kini? Bersolat tetapi berzina. Ketika umat Islam berpuasa dia pula buat kerja laknat. Saya masih ingat lagi kata-kata datuk saya ketika beliau mengajar di rumahnya dengan katanya, berzina seronok sekejap tetapi derita sampai ke neraka. Tazkirah kali ini ingin saya menulis mengenai akibat berzina yang nampaknya sudah menjadi perkara biasa dan semacam tidak ada apa-apa perasaan pada pasangan sama ada remaja, dewasa atau tua.

Percayalah, kalau Allah marah mesti ada azab sama ada azab sementara di dunia dan apa lagi di akhirat. Di antara akibat buruk dan bahaya terbabit ialah :-


1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan iaitu berkurangnya agama si penzina, hilanga sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.

2. Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu adalah suatu yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.

3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.

4. Membuatkan hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan sehingga tidak pernah berasa cukup dengan apa yang diterimanya.

6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.

8. Penzina akan dipandang manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki qalbun salim (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.

10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi penzina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya. Ini kerana orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan sebaliknya dari apa yang dia inginkan dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan serta kebahagiaan.

11. Penzina mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari jelita di syurga kelak.

12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.

13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih meninggalkan kesan dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya. Tetapi dosa zina akan benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku itu bertaubat dan membersihkan diri, dia masih berasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya? Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkannya. Dia berzina dan membunuh jiwa yang tidak berdosa. Sekiranya dia ialah seorang wanita yang bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir, dia memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Na'udzubillahi min dzaalik.

15. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit seperti Aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.

16. Di antara azab di akhirat nanti penzina akan dibesarkan kemaluan, baik lelaki atau perempuan sebesar Bukit Uhud. Anda tahu besar mana Bukit Uhud? Semoga kita dan anak keturunan kita terselamat dari bencana durjana ini.

Monday 20 September 2010

Bila Dahi Tak Mencecah Sejadah

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan,
Berwuduklah kamu sebelum kamu diwudukkan,
Dan Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan,
Tutuplah Auratmu sebelum Auratmu ditutupkan,
Dengan kain KAFAN yang serba putih...

Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih,
Walaupun orang yang hadir itu merintih,
Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai,
Lalu dilaksanakan solat jenazah,
Dengan 4 kali takbir dan 1 salam,
Beserta Fatihah, Selawat dan doa,
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah...

Tapi apakah 4 kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian,
Justeruku menyeru sekalian Muslimin dan Muslimat,
Usunglah dirimu ke tikar solat,
Sebelum dirimu diusung ke liang lahad,
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat...

Iringilah dirimu ke masjid,
Sebelum kamu diiringi ke pusara,
Tangisilah dosa-dosamu di dunia,
Kerana tangisan tidak berguna di Alam Baqa'...

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan,
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan,
Dengan panggilan 'Izrail yg menakutkan,
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan,
Kerana ianya berguna utk yang tinggal,
Bukan yang pergi...

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan,
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan...

Ingatlah di mana saja kamu berada,
Kamu tetap memijak bumi Tuhan,
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan,
Serta menikmati rezeki Tuhan,
Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya,
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya...

Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yg tidak bererti,
Lalu menjadi segumpal darah,
Lalu menjadi seketul daging,
Lalu daging itu membaluti tulang,
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti...

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu,
Yang kalau jatuh ke tanah,
Ayam tak petok itik tak sudu,
Tapi ALLAH mengangkatmu ke suatu mercu,
Yang lebih agung dari Malaikat...

Lahirmu bukan untuk dunia,
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat..

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solah',
Dengan penuh rela dan bersedia,
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah',
Jalan kemenangan akhirat dan dunia..

Ingatlah yang kekal ialah amal,
Menjadi bekal sepanjang jalan,
Menjadi teman di perjalanan,
Guna kembali ke pangkuan Tuhan..

Pada hari itu tiada berguna,
Harta, takhta dan putera,
Isteri, kad kredit dan kereta,
Kondominium, saham dan niaga,

KALAU DAHI TAK MENCECAH SEJADAH DI DUNIA...

Hadis Pertama

Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab R.A. katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Setiap amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia nikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya".